Sejarah Penubuhan Sekolah
Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Perlis telah ditubuhkan pada tahun 1973. Pada peringkat awal penubuhannya, penuntut-penuntut sekolah ini seramai 109 orang menumpang belajar di Sekolah Menengah Derma dan menginap di Rumah Pengakap, di Sekolah Menengah Vokasional dan juga asrama Sekolah Menengah Derma.
![](https://smstsp.edu.my/wp-content/uploads/2024/04/67_big.jpg)
Bangunan Sekolah Menengah Sains Perlis (kini Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra) yang menelan belanja sebanyak 2.5 juta ringgit, mula dibina di satu kawasan tanah lembah seluas 30 ekar di Behor Pulai. Penuntut-penuntut yang bertaburan di merata tempat, mula berpindah ke bangunan baru pada 20 Mei 1974. Pada 1 September 1974, Encik Abdul Rahim bin Abdul Majid telah dilantik sebagai Pengetua Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra yang pertama.
![](https://smstsp.edu.my/wp-content/uploads/2024/04/70_big.jpg)
Detik bersejarah yang tercatat dalam diari sekolah yang sukar dilupakan ialah pada hari Khamis, 2 November 1978. Pada tarikh tersebut, DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalulail iaitu Raja Negeri Perlis telah menyempurnakan perasmian Sekolah Menengah Sains Perlis dengan memperkenalkan nama baru sekolah ini iaitu Sekolah Menengah Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.
Mulai 2 Mei 1995, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan nama rasmi sekolah ini dengan nama Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.
- Sumber gambar 1: https://wikimapia.org/2073141/Sekolah-Menengah-Sains-Tuanku-Syed-Putra-Kangar-Perlis-Alumni-Website-www-asputra-org#/photo/528167
- Sumber gambar 2: https://wikimapia.org/2073141/Sekolah-Menengah-Sains-Tuanku-Syed-Putra-Kangar-Perlis-Alumni-Website-www-asputra-org#/photo/528170
- Sumber kandungan: Majalah Puteraindera 2007